KETUA jurulatih skuad remaja wanita kebangsaan, Lailin Abu Hassan optimis dengan kelebihan mereka yang diperkuatkan sembilan pemain senior pada Piala Remaja Asia 2024 di Muscat, Oman dari 7 hingga 15 Disember depan.
Menurutnya, beberapa pemain utama daripada skuad senior yang beraksi di Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Rajgir, India bermula 11 November ini akan menyertai pasukan remaja sekali gus meningkatkan peluang mereka dalam kejohanan tersebut.
“Pengalaman yang kita mahukan, sekurang-kurangnya mereka boleh berikan semangat kepada pemain-pemain remaja yang tidak terlibat dengan ACT.
“Kita ada sembilan pemain pernah beraksi di Jepun tahun lalu dan mereka adalah aset penting untuk memberikan sokongan kepada pemain-pemain yang lebih muda dan kurang pengalaman antarabangsa,” kata Lailin.
Bagaimanapun, Lailin tidak menafikan cabaran getir bakal dihadapi skuad remaja negara apabila Thailand dan Taiwan bakal menyertai kejohanan tersebut selepas ketiadaan Kazakhstan serta Uzbekistan.
Malaysia ditempatkan dalam kumpulan mencabar bersama China, India, Thailand dan Bangladesh dengan lima terbaik daripada keseluruhan 10 pasukan akan layak ke peringkat seterusnya berdasarkan format kali ini.
“Kita perlu memastikan sekurang-kurangnya berada dalam dua kedudukan teratas kumpulan. Jika gagal, sasaran kita adalah untuk menamatkan saingan di tempat ketiga dan seterusnya berpeluang dalam penentuan tempat kelima,” jelasnya.
Sebagai rekod, Young Tigress akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan, termasuk menentang skuad senior kebangsaan dan Singapura sebagai persiapan terakhir sebelum berlepas ke Oman.