fbpx

Pelajar tingkatan satu maut dirempuh Vios ketika melintas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kemalangan maut remaja lelaki berusia 13 tahun dirempuh sebuah kereta di Jalan Kampung Gesir Tengah, Hulu Selangor, pagi semalam.

HULU SELANGOR – Seorang pelajar tingkatan satu maut ketika melintas jalan selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Kampung Gesir Tengah, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu sekitar pukul 7.40 pagi.

Katanya, kemalangan itu membabitkan Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 65 tahun manakala mangsa merupakan pelajar lelaki sekolah menengah berusia 13 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Vios terbabit sedang memandu di lokasi kejadian sebelum tiba-tiba datang mangsa dari arah sebelah kiri jalan.

“Mangsa melintas secara tiba-tiba menyebabkan pemandu tersebut tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bapa mangsa telah membawa remaja itu menaiki kenderaan persendirian untuk dibawa ke klinik berdekatan.

“Apabila sampai di jalan hadapan Dewan Serba Guna Selisik, ambulans tiba dan mangsa telah disahkan meninggal dunia,” katanya.

Jelas Faizal, mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Kata beliau, kenderaan yang terlibat dengan kemalangan turut ditahan untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI