PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri termasuk Pantai Timur sehingga 3 petang ini.
MetMalaysia memaklumkan, negeri-negeri yang terlibat adalah Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Di Pantai Timur, keadaan ini dijangka berlaku di Kelantan (Jeli), Terengganu (Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Raub, Jerantut, Maran dan Kuantan),” katanya.
Cuaca buruk ini turut menjejaskan negeri di kawasan utara negara iaitu Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan Baling) dan Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Bagan Datuk)
Tambahnya, bagi Johor pula, hujan lebat dan angin kencang melibatkan kawasan Batu Pahat dan Pontian.
“Sarawak di kawasan Sibu (Selangau), Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah) dan Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Wilayah Persektuan Labuan juga tidak terkecuali dari cuaca buruk,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE