KUALA LUMPUR – Identiti peserta Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) akhirnya diketahui apabila penyanyi Ning Baizura, Ronnie Hussein, Reshmonu dan Liza Aziz antara bintang diumumkan menyertai rancangan televisyen popular itu.
Empat penyanyi luar negara dari Indonesia dan Singapura dirampilkan iaitu kumpulan The Lima, vokalis Dadali Dyrga, Inka Christie dan Yazid Lovehunters.
Sementara itu penyanyi lain yang turut terlibat ialah Illa Sabry, Sheila Abdull, Fairuz Selamat, Arrora Salwa, Zehra Zambri dan Nai Dinamik.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad, GV11 kembali kepada format asal iaitu penyanyi yang sudah lama tidak membuat kemunculan semula dalam industri.
“Sebelum ini kita telah menggabungkan penyanyi yang masih aktif dalam industri, tetapi reaksi peminat pula berbeza.
“Mereka inginkan agar Gegar Vaganza kembali dengan format asal iaitu menampilkan penyanyi yang mempunyai lagu one hit wonder. Jadi disebabkan itu kita kembali kepada format asal,” katanya yang ditemui dalam majlis sidang media Gegar Vaganza di sini hari ini.
Gandingan pelakon dan pelawak Nabil Ahmad dan Jihan Muse kekal sebagai pengacara sementara Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat serta Hetty Koes Endang bertindak sebagai juri.
GV11 akan bersiaran bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 12 minggu ditayangkan di saluran Astro Ria dan dijadualkan berlangsung pada 24 November depan. – KOSMO! ONLINE