KUALA LUMPUR – Kecemerlangan Natxo Insa di pentas Asia menyaksikan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kembali menyertai skuad kebangsaan bagi harungi dua aksi persahabatan antarabangsa, bulan ini.
Daripada senarai yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini, pengendali negara, Pa Marti Vicente mengekalkan 20 daripada 26 pemain yang sertai kem pusat ketika berkunjung ke New Zealand, bulan lalu.
“Seramai enam pemain baharu dipanggil kali ini iaitu penjaga gol, Haziq Nadzli (Perak FC), Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC), Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Sergio Aguero (Sri Pahang FC), Natxo Insa (JDT) serta kapten, Dion Cools (Buriram United),” menurut kenyataan FAM.
Malaysia dijadualkan menentang Laos di Stadium PAT, Bangkok, Thailand pada Khamis, 14 November ini sebelum bertemu India di Stadium Gachibowli, Hyderabad, India, 18 November.
Skuad Harimau Malaya akan berlatih selama dua hari di Wisma FAM, Kelana Jaya sebelum berlepas ke Bangkok, Selasa ini. – KOSMO! ONLINE