PETALING JAYA – Mengajak ke arah kebaikan, pendakwah bebas PU Riz menitipkan pesanan kepada setiap individu untuk menjaga lisan agar tidak menyakiti perasaan orang lain.
PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 29, berkata, bagi mengelakkan terlepas kata, seseorang itu perlu berfikir sebelum menyuarakan sesuatu pandangan terutama berkaitan isu sensitif.
“Dalam kehidupan kita ini bukan semua benda kita boleh suarakan, bukan semua lintasan perasaan itu kita luahkan. Ada kala kita diam dan ada kalanya kita bercakap apabila sesuai.
“Mungkin hari ini kita ada perasaan marah, tidak faham akan sesuatu perkara namun bukanlah dengan kita bercakap dan meluahkan dahulu kemudian baru berfikir. Bukan begitu,” katanya dalam perkongsian di TikTok.
Suami kepada usahawan selebriti Neelofa itu turut mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menggunakan bahasa kesat ketika berbicara.
Katanya, pemilihan ayat yang baik menunjukkan keperibadian seseorang bahkan membawa kepada keredaan Allah.
“Cakaplah dengan perkataan yang berhemah kerana ingatlah, ada orang mati masuk neraka hanya sebab satu perkataan dan ada orang mati masuk syurga juga hanya dengan satu perkataan.
“Diangkat darjat seorang yang bercakap satu perkataan, hanya niat kerana Allah SWT,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, bapa kepada dua cahaya mata itu turut berharap setiap orang menggunakan peluang berbuat baik sesama insan selain tidak bercakap hal buruk mengenai agama.
“Hati-hati dengan perkataan kita, terutama apabila melibatkan orang Islam dan agama, jangan sewenang-wenangnya bercakap atas kehendak dan keinginan kita.
“Perhatikan sekeliling, hargai peluang dan ruang yang diberi, terutamanya dalam kita menjalani kehidupan kita di dunia ini.
“Kita teruskan dan kekalkan akhlak yang baik kerana di akhir nanti akhlak yang baik dan orang yang takut kepada Allah, menyebabkan dia ke syurga,” katanya. – KOSMO! ONLINE