fbpx

KPM ambil serius aduan pelanggaran hak cipta bahan pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina dan Armizan ketika sidang akhbar Majlis Menandatangani MoU antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius aduan yang diterima mengenai kandungan bahan-bahan pendidikan yang telah dimuat naik tanpa kebenaran.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM akan memastikan hak cipta harta intelek khususnya berkaitan bahan pendidikan dapat dilindungi sepenuhnya.

“KPM akan memastikan kandungan pendidikan dilindungi dan hak cipta serta hak intelek yang melibatkan bahan-bahan pengajaran ini benar-benar dapat memberikan manfaat kepada mereka yang telahpun memulakannya.

“Justeru, kita ambil perhatian penuh berdasarkan aduan-aduan melibatkan bahan pengajaran seperti buku teks, yang sepatutnya tidak boleh dimuat naik tanpa kebenaran daripada KPM,” katanya pada sidang akhbar Majlis Menandatangani MoU antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan, KPM hari ini mengukuhkan kerjasama strategik dengan pemeteraian MoU berkaitan harta intelek bersama KPDN melalui MyIPO.

Beliau berkata, MoU itu bertujuan memperkenalkan modul harta intelek kepada warga pendidik dan para pelajar sekali gus membentuk generasi yang lebih peka terhadap hak-hak intelek.

“Melalui MoU ini, sebuah modul khas berkenaan harta intelek akan dibangunkan dan dimasukkan sebagai elemen rentas kurikulum (EMK) dalam kurikulum sekolah sedia ada.

“Pewujudan modul ini akan memperkenalkan konsep harta intelek dengan cara yang mudah difahami oleh pelajar serta membina asas dan pemahaman kukuh bagi melahirkan generasi yang celik perlindungan harta intelek,” ujarnya.

Sementara itu, Armizan berkata, inisiatif itu adalah kesinambungan kepada pelaksanaan program yang telah dijalankan oleh MyIPO semenjak 2013 untuk meningkatkan kesedaran hak harta intelek dalam kalangan pelajar antaranya melalui pelaksanaan pelbagai program yang menekankan pembelajaran secara santai tetapi efektif.

“Pelaksanaan program ini menunjukkan perkembangan positif apabila semenjak tahun 2011 hingga September 2024, MylPO telah menerima sebanyak 66 permohonan pendaftaran paten dan perbaharuan utiliti serta 128 permohonan hak cipta dengan sebahagian besarnya merupakan permohonan paten yang direkodkan atas nama sekolah di bawah KPM dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

“Pemeteraian MoU ini akan menjadi langkah tepat dalam membina kesedaran hak harta intelek sekali gus menjadi perisai perlindungan bagi kreativiti dan inovasi warga pendidikan daripada diekploitasi oleh mana-mana pihak,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau berkata, MoU itu juga akan membuka peluang kepada pengkomersialan hasil daya cipta dan inovasi untuk manfaat bersama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI