WASHINGTON – Sebilangan pusat pengundian di beberapa negeri Amerika Syarikat (AS) melanjutkan waktu mengundi susulan beberapa isu teknikal dan ancaman yang diterima, lapor akhbar The Sun UK.
Pusat undian kekal dibuka di daerah Cambria, Pennsylvania sehingga pukul 10 malam (waktu tempatan) selepas masalah pada perisian menghalang pengundi daripada menyerahkan kertas undi mereka.
Pada masa sama, Lembaga Pilihan Raya Carolina Utara melanjutkan masa mengundi di dua lokasi pengundian selepas kedua-duanya dibuka lewat disebabkan isu teknikal, lapor saluran berita ABC News.
Presint Sekolah Gardners di daerah Wilson dan Pilot Mountain Precinct di daerah Burke pula akan dilanjutkan selama 30 minit.
Pusat-pusat pengundian di seluruh negara dibuka beberapa jam selepas bekas Presiden, Donald Trump dan Naib Presiden, Kamala Harris melakukan kempen terakhir mereka pada petang kelmarin.
Pengundi berpusu-pusu memenuhi pusat pengundian sebaik sahaja ia dibuka.
Namun, pengundi berhadapan dengan isu teknikal, barisan yang panjang, cuaca buruk dan risiko bekalan elektrik terputus.
Di Georgia, dua lokasi pengundian terganggu seketika oleh ancaman bom yang ‘tidak boleh dipercayai’, yang menurut Setiausaha Negeri, Brad Raffensperger, berpunca dari Russia.
“Mereka nampaknya sedang melakukan kerosakan.
“Mereka tidak mahu kita mengadakan pilihan raya yang lancar, adil dan tepat,” katanya.
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkata, ia sedia maklum mengenai ancaman bom yang dibuat di beberapa tempat mengundi di sebilangan negeri.
Sementara itu, di daerah Hamilton, Indiana, kakitangan pilihan raya menghadapi masalah teknikal dengan tablet mereka di beberapa lokasi pengundian.
Di Michigan, drama pilihan raya semakin hangat selepas dua orang ditangkap oleh FBI setelah didakwa melancarkan ancaman ganas terhadap Trump, kata Pejabat Peguam AS di Daerah Timur Michigan dalam satu kenyataan. – AGENSI