SHAH ALAM – Jabatan Imigresen Selangor komited dalam memerangi dan membendung sebarang pelakuan jenayah rasuah dan salah guna kuasa menerusi Ikrar Bebas Rasuah (IBR), hari ini.
Lafaz ikrar itu melibatkan seramai 129 pegawai dan kakitangan jabatan itu diketuai pengarahnya, Khairrul Aminus Kamaruddin sambil disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim.
Khairrul Aminus berkata, pelaksanaan IBR itu menjadi suatu tanda usaha dan kesungguhan Jabatan Imigresen Selangor dalam memperbaiki imej serta integriti pegawai dan kakitangan.
Katanya, ini secara langsung meningkatkan tadbir urus selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“IBR ini merupakan satu akad, satu janji kita, jangan ia hanya menjadi suatu yang retorik.
“Kita perlu bentuk tadbir urus yang baik dalam mendepani cabaran dalam menjalankan tugas seharian kita di jabatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut berlangsung adalah sesi menandatangani IBR antara Khairrul Aminus dan Alias.
Dalam pada itu, Alias mengingatkan supaya pegawai Jabatan Imigresen Selangor tidak terlibat dengan sebarang perlakuan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan.
“Pegawai dan kakitangan jabatan itu juga disaran untuk melaporkan sebarang sogokan atau cubaan menawarkan rasuah.
“Ganjaran akan diberikan kepada penjawat awam yang melaporkan pemberian rasuah selaras dengan Garis Panduan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara pada tahun 2011,” jelasnya.