SHAH ALAM – Hasil laporan siasatan berkait kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang penuntut senior akan dimuktamadkan Jumaat ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia akan dibentang dan diputuskan oleh ahli jawatankuasa Lembaga Siasatan yang terdiri daripada pegawai-pegawai atasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Saya dapat tahu bahawa pihak Polis Diraja Malaysia telah pun menghantar laporan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Di pihak kita pula, Lembaga Siasatan sedang buat siasatan dan hari Jumaat kita akan selesaikan. Kita akan kemukakan hasil laporan dan cadangan bersandarkan garis panduan dan segala perkara terkait,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-12 di 16 Skuadron, Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan, kertas siasatan membabitkan kes dera dan buli seorang pegawai kadet UPNM pada 22 Oktober lalu diserahkan kepada AGC, petang semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya akan mengambil tindakan lanjut sesuai dengan arahan AGC.
Terdahulu, mangsa dikatakan ditekap seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan, 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan dibuat mangsa berusia 20 tahun pada 8.23 malam Jumaat. – KOSMO! ONLINE