KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil dua bekas Menteri Kewangan iaitu Lim Guan Eng dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi melengkapkan prosiding komitmen pemulangan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan firma guaman Rosli Dahalan Saravanan (RDS) Partnership juga akan dipanggil.
“Mereka dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung usaha mendapatkan aset 1MDB semasa mereka berada dalam Jawatankuasa Khas 1MDB. Prosiding dijangka akan diadakan pada minggu ketiga November 2024,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Terdahulu, Mas Ermieyati memaklumkan, PAC telah mengadakan Prosiding berhubung Komitmen Pemulangan Aset 1MDB Dan Jaminan Pembiayaan Hutang, 1MDB serta Prosiding berhubung Pengurusan Akaun Belum Terima Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 4 dan 5 November 2024.
Menurut beliau, kedua-dua prosiding tersebut adalah berdasarkan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bil. 3 Tahun 2024 – Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 14 Oktober lalu.
“Dalam prosiding yang mengambil masa selama dua jam, PAC telah mendengar mengenai usaha-usaha Kerajaan dalam mendapatkan assetaset 1MDB serta pembiayaan hutang 1MDB yang berjumlah RM9.456 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, PAC hari ini membentangkan Laporan Tindakan Susulan Menteri Kewangan (Diperbadankan), Kementerian Kewangan Malaysia Dan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Bagi Syor-Syor Laporan PAC Parlimen Berhubung Felcra Berhad.
“Orang ramai boleh membaca tindakan yang diambil oleh MOF dan FELCRA atas syor-syor laporan PAC berhubung FELCRA yang telah dibentangkan pada 26 Jun 2024.
“Esok, PAC akan membentangkan Laporan berhubung Majlis Profesor Negara Di Bawah Jabatan Perdana Menteri setebal 278 muka surat. Prosiding ini diadakan pada 1 Ogos lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE