KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah melengkapkan kajian berhubung kewujudan kartel dalam industri padi dan beras.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, kajian mendapati terdapat kemungkinan penyalahgunaan kedudukan oleh syarikat tertentu yang mengawal bekalan.
“Tahun 2022 harga ayam tak boleh dikawal sebab kartel makanan haiwan yang sudah dibanteras dan dikenakan hukuman oleh mahkamah.
“Berkenaan beras dan petani, saya nak maklumkan MyCC sudah menyiapkan laporan kajian mereka berkenaan kartel padi dan beras, tetapi saya tak boleh dedahkan di sini lagi sehingga laporan rasmi didedahkan.
“Tetapi sudah pun diselesaikan berkenaan kartel padi dan beras dan kemungkinan penyalahgunaan kedudukan dominan oleh mana-mana syarikat yang mengawal bekalan benih, import dan sebagainya,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung usaha kerajaan untuk membantu golongan petani berdepan peningkatan kos sara hidup.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa berkenaan status Menu Rahmah semakin sukar ditemui, Fuziah berkata, antara faktor disebabkan permasalahan pada penggunaan Kad Diskaun Menu Rahmah yang diberikan kepada pengusaha makanan sebelum ini.
Menurut beliau, kad itu diberikan kepada pengusaha Menu Rahmah bermula November tahun lalu bertujuan memberi mereka diskaun untuk membeli barang keperluan bagi memasak Menu Rahmah.
Bagaimanapun, kata beliau, selepas beberapa bulan pihaknya mendapati pasar raya yang menawarkan khidmat untuk diskaun itu mempunyai sistem berbeza menyebabkan kad tersebut tidak dapat digunakan.
“Kita bagaimanapun sudah mengatasi masalah tersebut dengan cara menawarkan kad diskaun ini kepada operator Menu Rahmah untuk mereka membeli di Jualan Rahmah.
“Sebelum ini Jualan Rahmah tak boleh dibekalkan kepada peniaga, kini boleh. Kalau (had pembelian) ayam dua ekor, mereka boleh beli lebih kerana mereka berniaga.
“Kalau (had pembelian) beras satu atau dua paket, mereka boleh beli lebih dengan mendapatkan Kad Diskaun Menu Rahmah,” katanya. -KOSMO! ONLINE