fbpx

Dewan Rakyat: Jakim bangunkan sistem pelaporan berpusat aduan ajaran sesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membangunkan sistem pelaporan berpusat bagi membolehkan wanita dan kanak-kanak yang terdedah kepada eksploitasi dan ajaran sesat membuat aduan terus kepada pihak berkuasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Jakim menyedari terdapat keperluan untuk membuat penambahbaikan dalam gerak kerja bagi menangani kes seperti GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dan berkaitan ajaran sesat.

“Selain itu, penyelarasan aduan telah dilaksanakan secara strategik antara Jakim dengan Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) sama ada kerajaan berhasrat memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) pelaporan bagi memastikan laporan diterima diambil tindakan segera.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, petugas barisan hadapan turut diberi latihan khas untuk mengenal pasti tanda eksploitasi.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibharim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), beliau menjelaskan sebarang pendakwaan berkaitan aspek akidah terhadap GISBH memerlukan ketetapan hukum.

Kata beliau, kementeriannya menyerahkan kepada Pendakwa Raya Syarie bagi meneliti lanjut semua bukti sebelum memutuskan sama ada bakal melaksanakan pendakwaan.

“Beberapa negeri membuat ketetapan hukum seperti Perlis, Pahang danSelangor termasuk Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang akan menjadi rujukan untuk pendakwaan.

“Selain itu, bukti perlu dipastikan kesahihan dan kekuatan, aspek ini kita serahkan kepada pihak berkuasa terutama pendakwa raya syarie untuk meneliti perkara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI