KUALA LUMPUR – Hanya 200 daripada 1,058 calon peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) pada tahun ini lulus peperiksaan tersebut.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, seramai 164 calon pula lulus bersyarat.
“Kalau seseorang tidak berkelayakan, tidak bekelayakan-lah. Tak lulus peperiksaan dan tidak patut rendahkan markah supaya dia layak.
“Kira-kira 1,058 orang telah menduduki peperiksaan tersebut dan seramai 694 orang gagal,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) tentang jumlah calon memperoleh CLP tahun ini memandangkan sukar untuk lulus peperiksaan tersebut.
Sementara itu, Kulasegaran berkata, perkara yang lebih mustahak adalah berkenaan yuran CLP terlalu tinggi sedangkan ramai calon daripada golongan berpendapatan rendah.
Justeru, katanya, beliau telah berbincang dengan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang supaya mengurangkan yuran memandangkan ia bukan agensi perniagaan.
Beliau memaklumkan, setakat 30 September tahun ini, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang menerima RM4.2 juta bayaran daripada calon peperiksaan CLP
Ia meliputi yuran pemprosesan permohonan RM148,000; Yuran pendaftaran dan peperiksaan CLP untuk calon baru RM3.12 juta; yuran peperiksaan mengulang satu subjek RM71,000 dan yuran mengulang semua subjek RM1.3 juta.
Menjawab soalan asal, Kulasegaran mengakui Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang tidak diaudit sejak 17 tahun lalu dan beliau baru mengetahui perkara itu semasa sesi Kamar Khas minggu lepas.
“Kita sedang mengambil tindakan susulan supaya pengauditan dibuat seberapa segera,” katanya.
Beliau turut mengakui Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang tidak dikenakan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) – KOSMO! ONLINE