KUALA LUMPUR – Seramai 35,000 menerima manfaat Program Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi dalam tempoh empat bulan pelaksanaannya membabitkan pembayaran sebanyak RM16.8 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tunai RM200 secara bulanan itu dapat mengimbangi kesan kenaikan harga diesel tanpa menjejaskan pendapatan boleh guna kumpulan sasar.
“Antara faktor permohonan Budi Agri-Komoditi ditolak tiada rekod sebagai petani kecil atau pekebun kecil komoditi di bawah pangkalan data GeoAgro, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai jumlah pekebun kecil atau petani yang telah mendaftar program BUDI dan jumlah subsidi yang telah dibayar kerajaan sehingga kini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, KPKM dan KPK sedang giat mengadakan sesi libat urus dan turun padang bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membolehkan pendaftaran petani dan pekebun dibuat secara langsung.
Menurut beliau, lebih 200 sesi telah diadakan oleh KPKM dan KPK serta jabatan dan agensi di pelbagai lokasi di seluruh negara sejak Jun lalu.
“Pada masa yang sama, pemohon boleh terus ke LHDN untuk mendapatkan khidmat pendaftaran permohonan melalui kaunter khas yang telah disediakan di setiap negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE