ALOR SETAR – Seorang aktivis politik bersama dua individu lain ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam setelah disyaki meminta dan menerima rasuah daripada seorang pendakwah selebriti.
Sumber memaklumkan, ketiga-tiga lelaki itu yang berusia antara 30 hingga 50-an ditahan antara pukul 12 tengah hari hingga lima petang semalam dalam satu operasi dijalankan di Bedong, Sungai Petani dan Pejabat SPRM Kedah.
Katanya, urusan meminta dan menerima rasuah disyaki dilakukan kononnya bagi membantu menyelesaikan kes penggubahan wang haram membabitkan pendakwah tersebut yang sedang disiasat polis.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek bersubahat meminta wang sebanyak RM150,000 tetapi mereka hanya menerima RM20,000 dari pendakwah tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, ketiga-tiga individu berkenaan hari ini dibawa SPRM ke Kompleks Mahkamah Alor Setar kira-kira pukul 8.45 pagi tadi bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Majistret, Siti Nor Hasliza Md. Ali membenarkan kesemua mereka direman selama empat hari hingga 9 November depan.-KOSMO! ONLINE