BARCELONA – Rancangan untuk mengadakan perlumbaan penutup musim MotoGP 2024 di Barcelona kini tergugat selepas bandar itu dilanda banjir besar dengan amaran cuaca dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Barcelona, yang dipilih sebagai pengganti Valencia untuk perlumbaan final Grand Prix MotoGP 2024, berdepan situasi mencabar dengan amaran merah akibat hujan lebat yang turut menjejaskan aktiviti harian penduduk setempat.
Valencia sebelum ini disingkirkan sebagai tuan rumah disebabkan banjir besar yang memusnahkan infrastruktur di rantau itu, dan Barcelona dipilih bagi mengisi kekosongan tersebut.
Namun, hujan lebat yang turun sejak awal minggu ini menyebabkan beberapa kawasan di Barcelona tenggelam, sehingga agensi meteorologi Sepanyol, AEMET, memberi amaran agar orang ramai tidak melakukan perjalanan kecuali jika perlu.
Dalam pada itu, pasukan dan pelumba sudah bersiap sedia dengan persiapan logistik dan peralatan, termasuk pengedaran pas paddock dan pelekat motosikal, memandangkan perlumbaan dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 17 November nanti.
Namun, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, status perlumbaan penutup ini masih belum disahkan secara rasmi.
Pelumba Ducati Lenovo, Enea Bastianini, turut melahirkan kerisauannya terhadap keputusan untuk berlumba di negara yang sedang berdepan krisis bencana alam.
“Bagi Marc (Marquez), Barcelona adalah tempat yang istimewa kerana ia kampung halamannya tetapi bagi saya, tidak sesuai untuk berlumba dalam keadaan begini.
“Namun, ini adalah keputusan pihak Dorna dan kami tetap perlu memberi komitmen sepenuhnya di litar nanti,” katanya.
Sebelum ini, Litar Antarabangsa Lusail di Qatar dilaporkan turut dipertimbangkan sebagai lokasi alternatif selepas Valencia tidak dapat menjadi tuan rumah.
Namun, kos tambahan dan kekangan logistik bagi pasukan Moto2 dan Moto3 menjadi halangan utama untuk meneruskan cadangan tersebut.
Dengan cuaca yang tidak menentu di Sepanyol, ramai yang tertanya-tanya sama ada perlumbaan penutup MotoGP akan diteruskan seperti yang dirancang atau adakah lokasi baharu akan diumumkan dalam tempoh terdekat. – AGENSI