fbpx

12 rakyat Malaysia diculik berkumpulan di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishamuddin (tengah) bergambar bersama tiga orang wakil keluarga mangsa dalam sidang media di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan seramai 12 orang rakyat Malaysia telah menjadi mangsa penipuan pemerdagangan manusia secara berkumpulan di Myanmar.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kes penipuan berkumpulan seperti ini jarang berlaku kerana selalunya melibatkan seorang atau dua orang individu.

“Setakat ini, MHO mengenal pasti seramai 12 orang mangsa yang menyasarkan penipuan secara berkumpulan dengan membawa mereka masuk ke Thailand pada 18 oktober lalu dan kemudiannya dilarikan ke Myanmar.

“Pemergiaan kesemua mangsa berusia 22 hingga 25 tahun ke Thailand itu dipercayai ada dua tujuan iaitu untuk membuka akaun bank dan satu lagi ditawarkan percutian ke sana,” katanya katanya dalam sidang media di Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, di sini hari ini.

Jelas beliau, mangsa dimanipulasi oleh ejen untuk mengajak rakan-rakan yang lain pergi ke Thailand kerana ada dalam kalangan mangsa yang telah berjaya mendapat RM10,000 membuka akaun bank di sana.

“Melihat kejayaan rakan-rakan memperoleh wang tersebut membuatkan mangsa yang lain terpengaruh untuk ke sana.

“Selain itu, sindiket juga menggunakan taktik menawarkan pelancongan ke Thailand tetapi malangnya kesemua 12 mangsa ini telah ditipu dan tidak bawa ke destinasi yang dijanjikan.

“Sebaliknya, ejen membawa mereka menaiki kenderaan menuju ke Myanmar untuk diculik dan meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang bapa mangsa Lee Han Chai, 52, berkata, anak perempuannya berusia 22 tahun difahamkan mengikuti enam lagi rakannya dalam rombongan yang sama pergi ke Thailand.

“Mereka sepatutnya ke Chiang Mai dari Bangkok tetapi dilarikan ke Myanmar dan sindiket meminta wang tebusan sebanyak AS$20,000 (87,940) sekiranya mahu mangsa dibebaskan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bapa mangsa, Teng Kim Ho, 58, berkata, anaknya menghubungi beliau dan meminta untuk menghantar wang wang tebusan sebanyak AS$10,000 (RM43,970) bagi membayar tambang balik pengangkutan dan juga tebusan kepada sindiket.

“Saya mula mengetahui keberadaan anak lelaki apabila salah seorang jiran berkongsi satu hantaran yang mana mengesahkan anak saya pada ketika itu berada di Thailand bersama beberapa individu yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada mangsa seterusnya yang ingin dikenali sebagai Kua,44, memaklumkan anaknya didera oleh pihak sindiket termasuk menggunakan kekerasan seperti renjatan elektrik.

Anak sulung daripada dua beradik itu juga tidak diberi makan dua hingga tiga hari dan dikenakan wang tebusan sebanyak AS$40 (RM175,937).– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI