KAJANG – Seorang mekanik didapati positif syabu dan mempunyai 17 rekod jenayah lampau selepas ditahan polis kerana mengamuk di plaza tol berhampiran Jalan Batu 9 Cheras, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan video kamera papan pemuka (dashcam) yang ditularkan di Facebook pada 11.13 pagi semalam.
“Video 18 saat itu (kejadian 1.38 pagi Ahad) memaparkan suspek, 31, keluar dari kenderaan dan terus ke kaunter tol.
“Suspek bertindak memarahi serta menendang dinding kaunter tol tersebut, lalu terus beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Katanya, mengikut keterangan mangsa kejadian tersebut iaitu petugas jurutol kaunter wanita, 22, punca kejadian adalah suspek ditegur kerana mengetuk tempat kad Touch n’ Go dengan kuat.
“Bertindak atas maklumat, suspek ditahan di taman perumahan Hulu Langat pukul 7 malam semalam. Hasil pemeriksaan ujian awal air kencing suspek adalah positif dadah jenis Methamphetamine, selain turut mempunyai 17 rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut boleh berhubung terus dengan balai polis yang berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 bagi membantu siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.