SETELAH membantu Ulsan HD FC muncul juara Liga K1, ketua jurulatih gergasi Korea Selatan itu, Kim Pan-gon kini mahu mengalihkan tumpuannya kepada saingan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Ulsan berada di kedudukan sukar setelah berada di kedudukan tercorot dan gagal mengutip sebarang mata dalam tiga perlawanan ACLE setakat ini.
Walaupun situasi meruncing, namun Pan-gon tidak merasakan tekanan dan percaya juara Liga K1 tiga tahun berturut-turut itu mampu mengubah kedudukan tersebut bermula aksi bertemu skuad Harimau Selatan.
“Kami amat teruja berdepan JDT yang merupakan pasukan terbaik di Asia Tenggara. Walaupun Ulsan HD berada di kedudukan tercorot dalam kumpulan Zon Timur, itu tidak bermakna kami mudah untuk dijinakkan.
“Pemain perlu memberi tumpuan penuh berdepan JDT dan tidak boleh melakukan kesilapan, tambahan pula mereka cukup luar biasa apabila beraksi di laman sendiri,” katanya.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu enggan menjadikan rekod pertembungan antara kedua-dua pasukan sebagai ukuran setelah JDT mempunyai kelebihan apabila menang tiga kali ke atas Ulsan.
“Kami mempunyai misi jelas untuk mengutip mata pertama dan JDT pastinya cuba sehabis baik menyekat hasrat itu dan tidak mahu kecundang di laman sendiri,” katanya.
Sementara itu, penyerang Ulsan HD, Kim Min Jun bersedia untuk memberikan aksi terbaik apabila berdepan skuad kendalian Hector Bidoglio.
“Analisis dilakukan mendapati corak permainan JDT terarah kepada bermain menyerang dari awal perlawanan dan suka menguasai bola dengan membuat hantaran pendek, jadi kami tak boleh leka dengan pergerakan mereka.
“Tidak dinafikan bukan mudah untuk mengutip mata di sini, namun kami percaya kehadiran jurulatih (Pan-gon) yang mengenali permainan kelab ini akan memberi impak kepada pasukan untuk bertindak balas,” ujarnya.