MADRID – Penundaan aksi dengan Valencia dalam saingan La Liga kelmarin seakan memberi kelebihan buat Real Madrid untuk menyiapkan pasukan dengan lebih baik sebelum berdepan AC Milan di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.
Tidak hanya untuk memperbaiki kedudukan dalam carta UCL yang kini menggunakan format baharu, kemenangan ke atas kelab Itali itu juga mampu menebus kekecewaan mereka selepas dibelasah Barcelona 0-4 minggu lalu.
Kekalahan dalam aksi El Clasico itu nyata cukup perit buat juara Eropah berkenaan, ditambah pula dengan kekecewaan dirasai bintangnya, Vinicius Junior terlepas untuk ditabalkan sebagai pemenang Ballon d’Or kali ini yang diberikan kepada Rodri dari Manchester City.
“Kami perlu melihat kepada apa yang berlaku, perlu belajar daripada kekalahan dan asas utama kami kena lakukan adalah mengkritik diri sendiri. Kami tidak boleh lagi memikirkan tentang apa yang berlaku sebelum ini.
“Saya bimbang dengan kekalahan tetapi kami kena segera baiki apa saja kesilapan. Kami akan lakukan perkara ini, sama seperti apa yang kami buat musim lalu,” kata pengendali pasukan, Carlo Ancelotti.
Berdasarkan laporan media Sepanyol, kekalahan kepada Barcelona mencetuskan aura lebih positif dalam bilik persalinan Real di mana pemain-pemain makin bersemangat untuk bangkit.
Seluruh pasukan juga dikatakan semakin bersatu untuk menjadikan Milan sebagai mangsa kebangkitan mereka. – AGENSI