MIRI – Seorang remaja perempuan warga China rentung dalam kebakaran rumah di Jalan Grand Park 3A/3 di sini pada awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Yuan Ruohan, 13, dijumpai rentung oleh pasukan bomba semasa memadam kebakaran tersebut.
“Mangsa rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 3.08 pagi dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dan BBP Miri Central ke lokasi.
Katanya setiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan dua buah rumah berkembar satu tingkat, dengan sebuah daripadanya terbakar 70 peratus dan rumah bersebelahan hanya terbakar di bahagian siling. – KOSMO! ONLINE