PETALING JAYA – Rakyat Malaysia yang didakwa menjadi tentera upahan Ukraine dalam konflik menentang Rusia dipercayai masih hidup serta berada dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Lee Bing Hang, 20 yang berasal dari Kedah mengalami kecederaan di buku lali selepas terkena serpihan dron tentera Rusia, Oktober lalu.
Katanya, ketika serangan dron berkenaan, Bing Hang berjaya melarikan diri bagaimanapun MyKad dan lesen memandunya tercicir manakala pasport masih ada bersamanya.
“Hasil risikan yang dijalankan juga mendapati Bing Hang memohon secara dalam talian untuk menyertai tentera Ukraine dan berperang dengan tentera Rusia.
“Minat dalam ketenteraan mendorong Bing Hang menyertai peperangan di Ukraine selain tawaran gaji menarik antara AS$400 hingga AS$2,700 (RM11,807) sebulan mengikut tahap bahaya di medan perang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut beliau lagi, tekanan daripada pihak keluarga turut dipercayai menjadi penyebab Bing Hang menjauhkan diri daripada keluarganya sehingga mencari pekerjaan di luar negara.
Beliau turut mendedahkan Bing Hang menamatkan pengajiannya di peringkat A Level di sebuah kolej di Petaling Jaya seterusnya menyambung pengajian di peringkat ijazah di Subang Jaya dan berhenti pada awal tahun ini.
“Pada Mac lepas beliau berlepas ke United Kingdom untuk mencari kerja sebelum menyertai perang Ukraine-Rusia sejak April lalu.
“Kita kesan dia tidak memiliki sebarang akaun media sosial seperti Facebook dan Instagram kerana tidak berminat dengan aktiviti sosial,” jelasnya
Terdahulu, tular sekeping gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.
Ia didakwa ditemukan selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia, Ukraine. – KOSMO! ONLINE