TAWAU – Seorang pelajar perempuan terpaksa menahan sakit hampir sejam selepas bahagian punggungnya tersepit di antara besi rangka kerusi yang rosak pagi tadi.
Dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau II itu, mangsa yang berusia 14 tahun cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.08 pagi.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas (hydraulic cutter) bagi memotong kerusi besi berkenaan sebelum mengeluarkan mangsa perlahan-lahan.
“Mangsa cedera ringan dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini. – KOSMO! ONLINE