PETALING JAYA – Gara-gara plat nombor kereta, pelakon Shakilla Khoriri disangka sebagai warganegara Singapura sehingga tidak dibenarkan mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Shah Alam, di sini.
Shakilla atau nama lengkapnya Nurul Shaklila Mohd. Khoriri, 35, mengakui bengang dengan sikap tidak cakna dan bodoh sombong segelintir individu yang mengakibatkan kesulitan terhadap orang lain.
“Aku memang ada isu dengan orang yang rasa diri tu paling betul dan bijak pandai. Mencari salah orang tapi diri sendiri pun tin kosong.
“Pagi tadi selepas hantar Ameena (anak) ke sekolah, aku berhenti isi petrol dekat Petronas Bukit Subang, Denai Alam, lama betul tunggu mamat ni isi minyak, sampailah satu kereta di depan sudah selesai, aku pun pergi.
“Dia pandang dari jauh dan sebelum pergi beritahu staf di situ jangan bagi aku isi minyak sebab aku orang Singapura. Staf cakap, ‘kakak! Tak boleh isi minyak sini sebab abang pakai Vellfire putih kata awak bukan orang Malaysia’,” katanya dalam Instagram Story.
Meluahkan perasaan geram, pelakon drama Adam & Hawa itu menegaskan plat kenderaannya adalah yang didaftarkan di Malaysia, bukan dari negara jiran seperti didakwa individu terbabit.
Sempat menyindir, Shakilla berharap pemandu yang membuat tuduhan melulu itu membuat semakan dahulu sebelum menyerlahkan kebodohan diri sendiri
“Bukan ke nampak bodoh? Kereta besar, otak kosong. Sebelum nak tegur pastikan dulu ada ilmu.
“Tak pasal, pagi-pagi nampak bodoh. Ke tak pernah pergi Sabah Sarawak? Plat SK ini Singapura ke?
Keluarga dia siapa? Kutip dan hantar ke sekolah sekali dengan Ameena,” katanya.
Ibu kepada Ameena Sofia, 5, itu antara selebriti yang lantang mempertahankan hak dan menyuarakan pandangan dalam pelbagai isu semasa. – KOSMO! ONLINE