KEMAMAN – Seorang pengerusi sebuah masjid di Terengganu ditahan reman selama enam hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengemukakan nama individu bukan asnaf miskin termasuk isterinya bagi agihan zakat sebuah badan kebajikan swasta pada tujuh bulan lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 50-an dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin di Mahkamah Majistret Kemaman di sini hari ini.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, siasatan awal mendapati suspek telah diberi amanah untuk menyampaikan bantuan zakat kepada asnaf miskin oleh sebuah syarikat minyak dan gas pada bulan April lalu.
“Suspek yang juga kakitangan syarikat itu telah menyenaraikan 50 individu didakwa dalam kalangan asnaf miskin. Setiap mereka telah menerima bantuan zakat sebanyak RM1,000,” katanya di sini hari ini.
Sumber SPRM berkata, lelaki itu telah ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman di sini pada pukul 2.45 petang kelmarin.
Tambah beliau, isteri suspek yang juga salah seorang penerima bantuan zakat tersebut turut ditahan tetapi telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. – KOSMO! ONLINE