fbpx

Penentuan pendapatan isi rumah layak subsidi RON95 masih diteliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Dewan Rakyat: Penentuan pendapatan isi rumah layak subsidi RON95 masih diteliti

Oleh ZULKIFLI MANZOR

KUALA LUMPUR – Penentuan pendapatan isi rumah yang layak untuk harga RON95 bersubsidi tidak akan ditentukan semata-mata berdasarkan tahap pendapatan isi rumah Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan masih meneliti pendekatan yang akan digunakan bagi menentukan Kumpulan T15 bagi penyasaran subsidi RON95 dan tidak akan terikat secara terus dengan definisi HIS.

“Kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan tahun 2025. Berhubung penentuan 15 peratus teratas atau golongan yang tidak layak menerima subsidi petrol RON95, kriteria ini masih dalam pertimbangan.

“Kerajaan akan meneliti perkara ini sebelum ia dimuktamadkan mengambil kira kriteria tambahan selain daripada pendapatan.

“Kerajaan komited untuk terus membela nasib majoriti rakyat termasuk golongan pertengahan dalam menghadapi cabaran kos sara hidup,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana golongan T15 ditentukan khususnya untuk penyasaran subsidi petrol RON95 bermula pertengahan 2025.

Terdahulu, Amir Hamzah berkata, bantuan tunai Budi madani sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun disediakan untuk golongan petani, pekebun kecil serta pemilik persendirian kenderaan diesel.

Menurut beliau, setakat 31 Oktober 2024, lebih 140,000 penerima Budi Individu dan 65,000 penerima Budi Agri-Komoditi telah diluluskan dalam tempoh lima bulan pelaksanaan sejak Jun 2024 dengan jumlah bayaran RM160 juta.

Kata beliau, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel menunjukkan penurunan mendadak daripada segi penjualan diesel daripada stesen minyak iaitu sekitar 25 peratus atau hampir 7 juta liter sehari mencerminkan pengurangan aktiviti penyeludupan.

Tambah beliau, jualan diesel secara komersial pula menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus atau 4 juta liter sehari menggambarkan setakat mana sektor industri berhenti membeli diesel bersubsidi daripada stesen minyak.

“Berdasarkan data awal, penyasaran subsidi diesel setakat ini telah menjana penjimatan sekitar 600 juta ringgit sebulan.

“Pada masa yang sama, kadar inflasi kekal pada tahap terkawal dan baru-baru ini menunjukkan penurunan dengan kenaikan Consumer Price Index (CPI) 2.0 peratus pada Julai 2024, 1.9 peratus untuk Ogos 2024 dan 1.8 peratus pada September 2024,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI