TANAH MERAH – Seorang pemandu lori dicekup semasa membawa sebanyak 11,235 pasang kasut dan beg tangan tiruan pelbagai jenama terkenal bernilai RM3.18 juta yang diseludup dari Thailand di Jalan Ismail Petra, di sini semalam.
Suspek yang berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari semasa anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA menahan sebuah lori jenis Isuzu selepas melihat ia dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu menjumpai sebanyak 9,369 pasang kasut tiruan pelbagai jenama dan 1,866 unit beg tangan yang disyaki diseludup dari Thailand.
“Pemandu lori itu dipercayai berperanan sebagai penghantar untuk menyeludup kasut dan beg tangan tersebut ke pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barang rampasan dibawa ke kompeni taktikal Rantau Panjang dekat sini untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019. – KOSMO! ONLINE