SEREMBAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu lebih proaktif mengesan dan bertindak lebih awal terhadap anggotanya yang melakukan jenayah serta salah laku.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pasukan itu tidak boleh lalai hingga menyebabkan agensi lain lebih kehadapan melakukan tindakan.
Katanya, tidak ada sebab pasukan itu tidak dapat mengesan kesalahan dilakukan anggotanya tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lebih dahulu menahan mereka yang melakukan kesalahan itu.
“Bagaimana SPRM dapat kesan dan kita tidak dapat. Nampak seperti kelemahan kita.
“Jangan tunggu hingga nampak seperti kita tidak proaktif dan hanya membiarkan jenayah itu berlaku,” katanya kepada para pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena Sambutan Hari Integriti Peringkat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di sini hari ini.
Memetik kes SPRM menemui wang tunai hampir RM2 juta di rumah selamat seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) beberapa bulan lalu, Ayob berkata, PDRM sebagai satu pasukan sepatutnya boleh mengesan salah laku seperti itu terlebih duhulu dan bertindak lebih awal.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga mahu maklum balas yang lebih segera terhadap isu yang berkaitan PDRM dibangkitkan terutamanya dalam media sosialm bagi mengelak persepsi negatif kepada pasukan beruniform itu. – KOSMO! ONLINE