fbpx

Legenda muzik Quincy Jones meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QUINCY merupakan penerbit paling berpengaruh dalam industri muzik.

LEGENDA muzik Amerika Syarikat, Quincy Jones meninggal dunia pada usia 91 tahun kediamannya di Bel Air, Los Angeles, semalam.

Pemergian komposer dan penerbit prolifik yang pernah bekerjasama dengan ramai bintang ternama itu disaksikan ahli keluarganya.

“Malam ini (semalam), dengan luluh dan berat hati, kami berkongsi berita tentang pemergian ayah dan saudara kami, Quincy Jones.

Walaupun ini merupakan kehilangan besar buat keluarga, kami meraikan kehidupan hebat telah dilaluinya yang tiada seumpamanya,” kata keluarga mendiang dalam satu kenyataan.

Sepanjang tujuh dekad, beliau antara penerbit paling berpengaruh dalam industri muzik apabila pernah bekerjasama dengan ramai bintang ternama termasuk Count Basie, Michael Jackson, George Benson, Frank Sinatra, Ray Charles, Louis Armstrong, Stevie Wonder dan Aretha Franklin.

Penerbitan album paling terkenal dalam sejarah pop sentuhannya adalah Thriller, The Wall dan Bad nyanyian Raja Pop Dunia, Michael Jackson

Dilahirkan pada 14 Mac 1933 di Chicago, Jones adalah orang kuat label rakaman, menggubah skor filem, menulis buku, menghasilkan filem cereka dan bersama-sama membangunkan siri televisyen.

Antara lagu runut bunyi rancangan popular yang dihasilkan adalah untuk The Bill Cosby ShowIronside dan Sanford and Son selain menjadi produser eksekutif The Fresh Prince of Bel-Air yang dibintangi Will Smith.

Portfolio cemerlangnya dilengkapkan dengan 28 trofi Anugerah Grammy, meletakkannya di kedudukan ketiga dalam senarai pemenang sepanjang zaman selepas penyanyi, Beyoncé dan konduktur muzik, Georg Solti.

Beliau turut menerima pelbagai penghargaan termasuk pengiktirafan di John F. Kennedy Center Honors, Pingat Seni Kebangsaan daripada Presiden Barack Obama serta disenaraika dalam Rock & Roll Hall of Fame.

Jones juga memimpin sesi rakaman bersejarah bagi single amal all-star tahun 1985 dan Billboard Hot 100 We Are the World selain mengambil alih pengurusan Mercury Records pada 1961 dengan menjadi orang Afrika-Amerika pertama yang duduk di kerusi Naib Presiden label gergasi itu.

Sekali gus, pemergian mendiang yang dianggap pakar dalam mencipta trend dan mengatur muzik untuk ramai penyanyi pada abad ke-20 meninggalkan kesan yang cukup mendalam.

Jones merupakan anak kepada pemain besbol separuh profesional dan tukang kayu, Quincy Delight Jones, serta pegawai bank juga pengurus kompleks pangsapuri, Sarah Frances. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI