KUALA LUMPUR – Trading Card Games Kuala Lumpur (TCGKL) telah memberi peluang kepada seorang pemenang kad permainan One Piece dalam pertandingan World Championship 2024, Kuik Guan Rong untuk mempamerkan kad kemenangannya bernilai RM10 juta kepada umum.
Kehadiran pemain muda yang berasal dari Pulau Pinang itu telah memeriahkan acara pameran dan penjualan permainan kad dagangan (TCG) yang telah diadakan di sini baru-baru ini
Menurut Guan Rong, hanya bermula dengan minat mengumpul kad permainan tersebut, beliau kini tidak menyangka dapat memiliki wang lumayan hasil daripada hobi baharunya itu.
“Saya mendapatkan pendedahan berkaitan permainan kad dagangan ini melalui YouTube dan mula berminat mengumpulnya pada tahun 2020.
“Disebabkan saya terlalu bosan kerana ketika wabak Covid-19 sedang menular, semua aktiviti tidak dapat dilakukan di luar rumah, jadi saya mula mencari hobi baharu yang tak sekadar memenuhi minat tetapi dapat menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam acara permainan kad dagangan.
Guan Rong telah menjual kad permainan hasil kemenangannya yang digelar Monkey D.Luffy bernilai RM10 juta itu kepada sebuah syarikat di Taiwan pada bulan lalu.
Terdahulu TCGKL telah menganjurkan acara pameran, penjualan dan penggredan TCG selama tiga hari bermula 1 November lalu di sebuah hotel di sini.
Acara itu telah berjaya mengumpulkan lebih 60 vendor dan pengumpul individu serta menarik minat lebih 5,000 pengunjung dari seluruh negara. -KOSMO! ONLINE