PERMINTAAN penggunaan fasiliti sukan, khususnya di Kuala Lumpur Sports City (KLSC) mendapat perhatian cukup menggalakkan apabila merekodkan kutipan hasil sewaan venue sebanyak RM10.647 juta setakat Oktober tahun ini.
Hasil kutipan tersebut menunjukkan peningkatan ketara dalam penganjuran pelbagai acara sukan dan bukan sukan, menandakan KLSC semakin menjadi pilihan utama penganjur untuk pelbagai jenis acara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kutipan sewaan venue acara sukan mencatat RM2.147 juta dengan melibatkan 26 acara dipertandingkan dan acara bukan sukan seperti konsert mencatatkan hasil RM8.5 juta melalui 54 penganjuran.
“Kutipan hasil bagi penganjuran acara sukan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) merekodkan hasil sewaan (perlawanan bola sepak) RM1.197 juta, diikuti Axiata Arena berkapasiti 13,000 tempat duduk dengan RM875,000 dan Stadium Hoki Nasional berkapasiti 15,000 hingga 20,000 dengan RM75,000. Jumlah keseluruhan, RM2.147 juta.
“Kutipan hasil penganjuran acara bukan sukan (Sehingga Oktober 2024) SNBJ merekodkan hasil sewaan RM1.8 juta, Axiata Arena RM6.4 juta dan Stadium Hoki Nasional RM210,000. Ini menjadikan Axiata Arena sebagai venue paling popular untuk acara bukan sukan. Jumlah keseluruhan RM8.5 juta,” katanya hari ini.
Hannah berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong di Dewan Rakyat berkenaan KBS dalam meningkatkan hasil negara melalui penganjuran lebih banyak konsert serta menjadikan SSBJ sebagai fasiliti pelbagai guna bertaraf dunia.
Sementara itu, Hannah menjelaskan bahawa KBS kini melaksanakan beberapa inisiatif untuk memenuhi permintaan penganjuran konsert, termasuk memperluaskan fungsi Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil untuk acara selain sukan hoki.
“Stadium Hoki Nasional kini tidak lagi terhad kepada acara hoki sahaja. Pada tahun hadapan, stadium tersebut menerima sebanyak 26 tempahan untuk penganjuran konsert, yang bakal meningkatkan bilangan acara hiburan di negara ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hannah turut menjelaskan kementerian juga telah mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan isu padang banjir dan isu rumput termasuk menukar kontraktor yang lebih baik dalam penyelenggaraan padang.
“Pada masa ini kementerian sedang melihat kepada penggunaan rumput hybrid dan membina dua tapak semaian baharu bagi memastikan bekalan yang mencukupi.
“Kementerian juga telah memperkenalkan moratorium di mana penonton dibenarkan berada dalam stadium untuk menonton konsert tidak melebihi 48 jam dan menggunakan konsep ‘lay and play’ bagi konsert yang menggunakan konsep pentas yang tidak boleh diubah.
Selain itu, Hannah turut menjelaskan bahawa KBS telah menyalurkan geran RM500,000 kepada negeri-negeri yang berminat untuk menukar rumput dan memperbaiki sistem saliran.