fbpx

Kes buli UPNM: Tiada kompromi dalam siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi dan akan telus berkaitan isu yang melibatkan disiplin terutamanya kes buli.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika mengulas tentang kes buli berkaitan seorang pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baru-baru ini.

“Perkara itu masih dalam siasatan polis dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK). Jadi, kita masih belum terima lagi laporan tetapi yang penting kita akan telus dan tidak berkompromi dalam hal melibatkan disiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2024 di sini, hari ini.

Ditanya mengenai penggantungan pengajian pembuli itu, Mohamed Khaled berkata, tunggu sehingga siasatan tersebut selesai.

“Kena faham ini bukannya ‘ragging’ dan ini bukan orientasi kerana ia melibatkan pelajar tahun dua dan pelajar tahun empat. Ia insiden tersendiri dan bukannya ramai-ramai macam tu,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang Pegawai kadet UPNM dipercayai didera penuntut senior selepas diminta untuk menggosok baju sebelum dadanya ditekap seterika pada 22 Oktober lalu dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan dibuat mangsa berusia 20 tahun.

Rakaman percakapan mangsa telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan beliau juga diminta untuk membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya.

Setakat ini, seramai 16 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, ATM menjalankan siasatan berkait kes seorang pegawai kadet di ALK, UPNM Sungai Besi yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang penuntut senior. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI