fbpx

Harga bawah RM10, punca budak sekolah ‘gila’ pil kuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Harga jualan sebiji pil kuda yang kurang daripada RM10 di Kelantan menyebabkan dadah tersebut menjadi pilihan kepada pelajar sekolah untuk mula terjebak dalam kegiatan penagihan dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, harga jualan sebiji pil kuda di Kelantan lebih murah daripada negeri-negeri Pantai Timur yang lain iaitu Terengganu dan Pahang.

Menurutnya, hasil maklumat yang diperoleh, pil kuda atau pil yaba yang bermaksud ‘pil gila’ dalam bahasa Thailand merupakan dadah yang paling popular di sini berbanding ganja, heroin dan syabu.

“Harga pil kuda di sini murah kerana kos pengangkutan termasuk halangan (selepas diseludup dari Thailand) jauh lebih rendah. Jika dibawa keluar dari Kelantan, risiko untuk ditangkap tinggi.

“Jadi, sebiji pil kuda di Kelantan boleh dijual pada harga bawah RM10 berbanding di negeri-negeri lain iaitu RM15. Harga tersebut menyebabkan ramai pelajar sekolah mula terjebak dengan dadah,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Perjumpaan dan Suai Kenal Ketua Polis Kelantan Bersama Rakan Media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, beliau melihat isu melibatkan dadah di Kelantan berada pada tahap yang serius.

Menurutnya, perkara itu dibuktikan apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kelantan berjaya membongkar kegiatan sindiket dadah jenis pil kuda dan heroin terbesar di negara ini selepas merampas kedua-dua jenis dadah tersebut yang bernilai RM49.17 juta di Jalan Pasir Mas-Salor di sini pada bulan lalu.

“Kes-kes dadah juga menyebabkan masalah sosial di Kelantan serius sehingga di peringkat pelajar sekolah sudah mula terlibat dengan dadah terutamanya pil kuda,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI