LUMUT – Eksesais Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) 2024 (Eks CARAT 24) yang melabuhkan tirainya hari ini menjadi platform untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS) memperkukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Panglima Selam dan Peperangan Periuk Api, Laksamana Pertama Tay Yap Leong berkata, Eks CARAT 24 bahkan turut mengukuhkan hubungan diplomatik dan persahabatan antara anggota ATM dan TLAS.
“Antara aktiviti yang dilaksanakan dalam Eks CARAT 24 termasuklah Subject Matter Expert Exchange (SMEE) dan Eksesais Latihan di Medan (FTX), yang meliputi pelbagai bidang seperti Operasi Amfibi, Kejuruteraan, Perubatan, Perlindungan Pasukan dan Kesedaran Domain Maritim (MDA),” katanya di sini hari ini.
Eks CARAT 24 yang merupakan eksesais bilateral antara ATM dan TLAS) berakhir hari ini dalam satu majlis penutup yang penuh simbolik di Auditorium Zain, Pusat Peperangan dan Doktrin (PUSPED) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yap Leong dan Atase Pertahanan AS, Kapten Pasit Somboonpakron.
Eks CARAT 24 yang berlangsung dari 29 Oktober hingga hari ini berkonsepkan Keselamatan Maritim dan bertujuan memperkukuh kebolehoperasian antara ATM dan TLAS dalam usaha mengoptimumkan keupayaan maritim kedua-dua negara.
Dengan penglibatan lebih 800 anggota dari ATM dan TLAS, eksesais itu diadakan dalam dua fasa iaitu Fasa Pelabuhan yang meliputi perbincangan strategik dan latihan berkaitan, diikuti Fasa Laut yang berlangsung di perairan Utara Selat Melaka yang melibatkan KD Terengganu, KD Rencong dan USS Dewey.
Aktiviti seperti Civic Action Programme (CAP) turut melibatkan komuniti setempat melalui Community Relations (COMREL) iaitu persembahan gabungan band dari Badan Kesenian TLDM dan The US 7th Fleet Band yang diadakan di Lumut Waterfront dan AEON Mall Manjung.
Mengulas lanjut, Yap Leong berkata, SMEE yang dilaksanakan selama tiga hari mulai 29 hingga 31 Oktober lalu membantu
peserta bertukar pendapat dan pengalaman masing-masing semasa melakukan operasi.
“Antara subjek yang diadakan adalah Seminar Women and Peace, Amphibious Ops, Aviation, Medical Enggagement dan Visit, Board, Search and Seizure (VBSS).
“Bagi Fasa Laut Eks CARAT 24, FTX telah dijalankan mulai 1 hingga 3 November 24 memberi peluang kepada peserta bergabung kepakaran melaksanakan latihan secara langsung,” katanya.
Eks CARAT 24 kali ini juga telah mencapai usia ke 30 tahun setelah beberapa siri latihan yang telah dilaksanakan bermula pada 1995 di antara Malaysia dan AS. – KOSMO! ONLINE