fbpx

Dikaitkan dengan GISBH, Dr. Maza saman pengguna FB RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Maza.

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin memfailkan saman terhadap seorang pengguna laman Facebook sebanyak RM10 juta kerana mengaitkannya dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Mohd. Asri yang lebih dikenali sebagai Dr. Maza selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 10 Oktober lalu menerusi Tetuan Faizal Rahman & Co. dengan menamakan Mohd. Nawawi Abdul Razak, 37, sebagai defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd. Asri mendakwa defendan telah menerbitkan empat pernyataan fitnah dalam Facebook atas nama ‘Mohd. Nawawi Abd Razak’ pada 20 September lalu.

Empat pernyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau merupakan sebahagian pemimpin atau penyokong Gerakan GISBH, mempunyai hubungan akrab dan membenarkan perbuatan khurafat dilaksanakan kerana mendapat ganjaran daripada syarikat itu.

Dakwa plaintif, tindakan defendan mengaitkannya dengan GISBH yang diketahui umum mempunyai kepercayaan atau ajaran mengandungi unsur sesat, memberi gambaran bahawa beliau menyokong atau terlibat aktiviti bertentangan ajaran Islam.

Sehubungan itu, plaintif memohon defendan membayar ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM10 juta, ganti rugi am, kos, faedah serta memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif juga memohon supaya defendan membuat draf permohonan maaf kepadanya dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman dan menerbitkan draf tersebut antaranya di akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Berita Harian, News Straits Times dan Facebook defendan secara bertulis selama 30 hari.

Turut dipohon agar defendan memadam pernyataan-pernyataan fitnah itu daripada semua laman sesawang dan media sosial termasuk Facebook, Twitter, Blogspot, TikTok dan Instagram di bawah kawalan defendan.

Mohd. Asri juga memohon agar defendan sama ada melalui pekerja atau ejennya dihalang daripada mengeluarkan secara langsung atau tidak langsung pernyataan-pernyataan fitnah itu di semua laman sesawang dan semua media sosial berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 November ini bagi pengurusan kes saman itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI