SHAH ALAM – Selepas bertalu-talu dihimpit kontroversi termasuk kes rogol, pendakwah selebriti Da’i Syed mengakui tidak lagi menerima tawaran kerja.
Pun begitu, Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 29, reda dengan ketentuan, malah berpasak teguh terhadap rezeki Allah.
“Setakat ini saya memang sudah tiada sebarang tawaran kerja tapi insya-Allah kalau Allah takdirkan ada rezeki, adalah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Syed memaklumkan perkara itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi sebutan rayuan berhubung sabitan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019.
Disoal mengenai sumber pendapatan, Syed memaklumkan yang dia dan isterinya Hana Ismail akan kembali aktif berniaga dalam talian.
“Kami dalam perancangan untuk memulakan semula bisnes menjual gelang perhiasan wanita dari Mesir.
“Insya-Allah saya akan mulakan siaran langsung di TikTok dan untuk semua, bolehlah sokong dan beli barangan kami,” ujarnya.
Berdepan kata nista netizen rentetan kes mahkamah dihadapi, pelantun lagu Lama Tkoni itu mengakui membaca segala komen, namun memilih untuk memendam rasa.
“Saya ada baca (komen netizen) tetapi tidak simpan dalam hati, sekadar tengok sahaja. Saya sebagai manusia pun ada rasa sedih,” tuturnya.
Mengenai kes mahkamah yang berlangsung, peguamnya Amin Othman memaklumkan perkara tersebut erkaitan pengurusan kes iaitu menfailkan petisyen rayuan.
Tambah Amin, kes membabitkan Syed akan disambung semula pada 10 Disember depan.
Terdahulu, pada 30 Ogos lalu Syed dihukum penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana didapati bersalah merogol seorang wanita di sebuah kondominium pada 2019.
Bagaimanapun selepas 21 hari, Syed dilepaskan sementara daripada menjalani hukuman tersebut pada 20 September lalu oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Penanguhan hukuman itu adalah sehingga rayuan pendakwah itu didengar dan diputuskan. — KOSMO! ONLINE.