PETALING JAYA – Pelakon Fazura menerima kritikan hebat netizen gara-gara menyanyikan single terbaharunya secara langsung dalam sebuah rancangan Indonesia.
Ramai yang menyindir vokal pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin, 41, yang dikatakan kurang baik semasa menyampaikan lagu berjudul Bertahan Demi Cinta.
“Aku kalau menyanyi memang ke laut dalam, bila dengar Fazura menyanyi lega sikit hati sebab ada geng,” ujar netizen.
“Kami pun cuba bertahan untuk mendengar sampai habis. Seksa,” jelas pengikut.
“Dengar dalam video muzik punyalah sedap tiba-tiba nyanyi secara langsung, cukuplah dengar sekali sahaja,” tutur netizen lain.
Lagu Bertahan Demi Cinta merupakan single yang pernah dirakamkan Fattah Amin sebelum mereka berpisah.
Tak kurang juga ada yang meminta selepas menulis komen mengulas nyanyian Fazura yang disifatkan ‘hancur’.
“Sehancur-hancurnya hati Fazura tetapi hancur lagi suaranya. Maaf Faz,” ujar seorang lagi netizen.
Lagu Bertahan Demi Cinta sebelum ini pernah menjadi bualan hangat apabila dilancarkan selepas Fazura dan Fattah sah bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Selain mempromosikan single baharu di Indonesia, pelakon filem Langit Cinta itu turut berkongsi rasa tentang kehidupannya kini yang tiada penyesalan biarpun terpaksa hidup solo setelah mahligai cinta yang dibina tujuh tahun lalu hancur berkecai.
Fazura dan Fattah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4. – KOSMO! ONLINE