SHAH ALAM — Terus berjuang membersihkan nama sehingga memohon rayuan di mahkamah tinggi, pendakwah selebriti Da’i Syed mengakui berbuat demikian bukan untuk diri sendiri, sebaliknya demi keluarga terutama isteri dan anak tunggalnya.
Ujar Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 29, dia enggan cahaya matanya membesar diselubungi aura negatif selain dihantui trauma dek kata-kata orang luar terhadap isu yang menimpanya.
“Kes ini memang sangat sukar bagi saya, saya perjuangkan sampai ke tahap mahkamah tinggi ini pun bukan untuk orang lain, semuanya demi keluarga, isteri dan anak saya.
“Saya tidak mahu anak saya membesar nanti dalam keadaan trauma dan sedih berhadapan kata-kata orang luar.
“Jadi saya ada di sini untuk membersihkan kembali nama saya insya-Allah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pendakwah selebriti, Da’i Syed tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi sebutan rayuan berhubung sabitan, hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019.
Ditanya kondisi mentalnya buat masa sekarang, Syed berkata dirinya baik-baik sahaja namun dalam masa sama mengakui hanya manusia biasa yang turut berasa sedih dan kecewa.
Bagaimanapun, dia bersyukur dikurniakan seorang isteri yang sangat memahami dan setia berada disisi baik ketika senang mahupun susah.
“Alhamdulillah keadaan mental saya okey sahaja. Saya pun manusia biasa. Ada keadaan ‘down’, sedih. Sebagai lumrah manusia saya rasa sedih juga.
“Cuma saya bersyukur Allah bagi isteri yang baik, Allah kurniakan anak kepada kami. Alhamdulillah itu kesempurnaan kepada kami untuk saya kuatkan diri jiwa hati dan minda,” ujarnya.
Enggan mensia-siakan waktu yang ada, pelantun lagu Ya Habib itu turut meluangkan masa berharga sepenuhnya dengan isteri dan puteri kesayangan mereka.
“Saya banyak habiskan masa dengan anak isteri. Lebih banyak duduk rumah sahaja.
“Penerimaan keluarga okey. Saya baru balik kampung dan mereka sokong saya dan mendoakan segala urusan saya dipermudahkan,” jelasnya.
Terdahulu, Syed mendirikan rumah tangga dengan Hana pada 3 Disember 2022 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang lahir pada 14 Ogos lalu.
Sebelum ini, 30 Ogos lalu, Syed dihukum penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana didapati bersalah merogol seorang wanita di sebuah kondominium pada 2019.
Bagaimanapun selepas 21 hari, Syed dilepaskan sementara daripada menjalani hukuman tersebut pada 20 September lalu oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Penanguhan hukuman itu adalah sehingga rayuan pendakwah itu didengar dan diputuskan. – KOSMO! ONLINE