KUALA LUMPUR – Aplikasi MYJalan menerima sebanyak 20,042 aduan kerosakan sehingga 30 September lalu dan 6,019 daripadanya di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) serta agensi yang melibatkan Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini berkata, baki sebanyak 14,023 aduan melalui aplikasi MYJalan itu pula melibatkan kerosakan diluar bidang kuasa KKR.
“KKR dan agensi telah menyelesaikan 5,738 bersamaan 95.33 peratus daripada aduan di bawah bidang kuasa yang diterima manakala baki sebanyak 281 atau 4.67 peratus masih dalam tindakan.
“Kategori Jalan Berlubang merupakan kategori tertinggi sebanyak 39.57 peratus (2,382), Jalan Rosak 18.06 peratus (1,087), Lampu Jalan 16.35 peratus (984) dan Lampu Isyarat 10.53 peratus (634). Baki 15.49 peratus (932) adalah lain-lain kategori,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berhubung statistik aduan kerosakan jalan yang diterima kementerian itu menerusi aplikasi MYJalan.
Alexander menjelaskan, selaras dengan dasar No Wrong Door Policy (NWD) aplikasi itu, aduan-aduan yang bukan di bawah bidang kuasa KKR disalurkan kepada pihak bertanggungjawab yang terlibat.
Kata beliau, ia antaranya membabitkan aduan jalan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Tambah beliau, begitu juga Jabatan Pengairan dan Saliran, jalan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak, Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dan lain-lain.
Sementara itu, katanya, Aplikasi Sistem Pemantauan Potholes (ASaPP) merekodkan 2,990 potholes telah dibaiki melalui tampalan secara kerja rutin di sepanjang Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia sehingga 30 September lalu.
“Manakala di Sarawak, Sabah dan Labuan telah merekodkan sebanyak 38,039 bilangan tampalan potholes,” katanya. – KOSMO! ONLINE