BANGKOK – Seorang pegawai polis di Pattani ditembak dua penyerang tidak dikenali semasa pulang daripada menunaikan solat di masjid, lapor laman berita Thaiger semalam.
Mangsa, Abdulhadi Yurae, 52, merupakan pegawai di Balai Polis Mayo.
Dalam kejadian sekitar pukul 8.30 malam (waktu tempatan), mangsa sedang menunggang motosikal apabila dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Honda Wave muncul secara tiba-tiba lalu menembaknya.
Tembakan pertama yang menyasarkan dada mangsa berjaya dielak apabila peluru terkena telefon bimbit mangsa.
Namun, tembakan kedua mengenai sebelah pipi mangsa.
Mangsa kemudian mencapai pistol miliknya dan membalas tembakan tersebut, yang dipercayai mencederakan salah seorang daripada mereka.
Dua suspek itu seterusnya melarikan diri.
Polis sedang menyiasat kes itu dan memburu kedua-dua suspek. – AGENSI