fbpx

Anggota baharu ATM akan terus nikmati pencen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled Nordin (tiga kanan) beramah mesra bersama anak-anak ATM yang mendapat keputusan cemerlang pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM Tahun 2024 di Auditorium Kementerian Pertahanan, hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu akan terus menikmati skim persaraan meskipun kerajaan memperkenalkan skim baharu perkhimatan awam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya sentiasa menambah baik ekosistem kesejahteraan anggota pertahanan dengan mengambil kira pengorbanan dan jasa dalam mempertahankan negara.

“Ia termasuklah dalam aspek kebajikan para perajurit negara iaitu daripada segi perumahan dan pendidikan anak-anak warga ATM.

“Seperti diumumkan permulaan tahun depan apabila kakitangan baharu diambil tidak lagi ada pencen, tetapi ia tidak terpakai kepada menyertai ATM. Begitulah kelebihan mereka yang berkhidmat dalam ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia 2024 di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Majlis itu merupakan satu manifestasi penghargaan khas dan galakan kepada anak-anak warga ATM yang telah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sejak tahun 1991, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah menyalurkan pemberian dan dermasiswa kepada lebih 14,000 anak-anak warga ATM dengan peruntukan sebanyak RM12 juta.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya bukan sahaja memberi perhatian kepada keselesaan tempat tinggal, tetapi keharmonian hidup warga ATM termasuk anggota keluarga.

“Ia turut merangkumi aspek pembangunan diri dan akademik anak-anak warga ATM.

“Antaranya adalah program tuisyen dalam talian secara percuma kepada semua calon SPM dalam kalangan anak-anak ATM yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris.

“Saya juga kini sedang mengusahakan agar semua calon SPM dalam kalangan anak-anak ATM dibekalkan dengan sebuah unit Chromebook secara percuma,” katanya.

Di samping itu, Kementerian Pertahanan juga telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Kementerian Komunikasi bagi memastikan program tuisyen percuma dan pembelajaran dalam talian menggunakan chromebook itu berjalan lancar.

“Oleh itu, kita mahu menyediakan perkhidmatan wifi dan internet yang menyeluruh di kem-kem tentera.

“Antaranya melalui pakej Perajurit Broadband yang sedang diusahakan. Semua pengguna dari kalangan anggota ATM hanya perlu membayar RM49 bagi perkhidmatan Internet ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI