KUALA TERENGGANU – Gara-gara rambang mata dijanjikan keuntungan berjumlah RM2 juta, seorang ejen insurans alami kerugian RM176,600 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud baru-baru ini.
Lelaki warga emas berusia 70 tahun itu hanya menyedari tertipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan pelaburan dijanjikan sebelum membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga di sini pada pukul 4.26 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa yang menetap di Kampung Seberang Baruh di sini tertarik dengan tawaran pelaburan di Facebook pada tiga bulan lalu.
“Pelaburan yang kononnya dijanjikan sebuah institusi pelaburan di China menjanjikan keuntungan sehingga 65 peratus.
“Mangsa teruja melihat iklan ‘pelaburan’ tersebut pada pukul 10 pagi, 5 Ogos lalu kemudiannya telah menghubungi suspek kononnya wakil institusi pelaburan asing tersebut menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, lelaki warga emas tersebut kemudiannya membuat pelaburan sebanyak RM176,600 menggunakan wang simpanan selain berhutang kad kredit menerusi 10 transaksi di empat akaun bank berasingan antara 10 September hingga 31 Oktober lalu.
“Berdasarkan aplikasi ‘pelaburan’ tersebut, mangsa berjaya memperolehi ‘keuntungan’ hampir RM2 juta.
“Begitupun ‘keuntungan’ itu didakwa hanya boleh dikeluarkan sekiranya mangsa membayar pelbagai caj lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE