LONDON – Hampir 600 anggota termasuk pegawai polis England serta Wales dipecat dalam tahun berakhir Mac 2024, demikian menurut angka pihak berkuasa ketika pasukan keselamatan berkenaan cuba mengembalikan kepercayaan orang awam selepas imejnya dicemari skandal berturutan.
Pemecatan itu meningkat 50 peratus berbanding 394 kakitangan yang dibuang kerja tahun sebelumnya.
Pembuangan kerja terbaru itu termasuk 74 anggota kerana menyalahgunakan kuasa dan melakukan kesalahan seksual.
Seramai 18 anggota lagi dipecat kerana memiliki imej lucah kanak-kanak, demikian menurut angka yang dikumpulkan oleh badan bebas, Kolej Kepolisan.
Reputasi polis di United Kingdom(UK) teruk tercemar sejak insiden penculikan, pemerkosaan dan pembunuhan eksekutif pemasaran, Sarah Everard oleh seorang anggota Polis Metropolitan London (LMP) pada 2021.
Anggota tersebut dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Dalam satu lagi kes mengejutkan, seorang anggota LMP yang lain dijatuhi 31 hukuman penjara seumur hidup kerana jenayah kejam melibatkan 71 kesalahan seksual termasuk memperkosa 12 wanita.
Menurut statistik Kolej Kepolisan, sebab utama pemecatan merangkumi 125 kes ialah tidak jujur, manakala 71 pemecatan lain dilakukan kerana tingkah laku diskriminasi.
“Tingkah laku mereka mencemarkan imej polis dan menghakis kepercayaan orang awam,” kata Timbalan Cif Konstabel Kolej Kepolisan, Tom Harding.
Pada Januari 2023, LMP mendedahkan bahawa seramai 1,071 daripada keseluruhan 34,000 anggotanya disiasat kerana keganasan domestik dan keganasan terhadap wanita serta anak gadis. – AFP