KOTA TINGGI – Kegembiraan tiga sahabat keluar memancing di Sungai Johor, Teluk Sengat bertukar duka selepas salah seorang daripada mereka ditemui lemas pada pukul 3.30 petang tadi, tujuh kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata, mayat Adam Benjamin Rosman, 15, ditemui terapung selepas mangsa bersama rakannya cuba menyelamatkan bot mereka yang hanyut.
Katanya, ketika kejadian ketiga-tiga mangsa menghentikan aktiviti memancing dan berteduh di struktur tiang pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran disebabkan hujan lebat serta angin kencang.
“Pada pukul 2.30 petang, tali bot fiber yang diikat pada tiang pencawang TNB terputus dan hanyut. Ketiga-tiga mangsa terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan bot, namun hanya mangsa tidak timbul di permukaan air.
“Keluarga mangsa yang berada di lokasi kejadian telah membuat pengecaman identiti dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. – KOSMO! ONLINE