fbpx

26 konsert di Stadium Hoki Nasional tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Stadium Hoki Nasional

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat dimaklumkan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil telah menerima 26 tempahan untuk penganjuran konsert bagi tahun 2025.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tempahan tersebut sekali gus dapat meningkatkan jumlah konsert diadakan di negara ini.

Menurut beliau, tempahan untuk penggunaan Axiata Arena juga telah penuh sehingga penghujung tahun 2025 untuk penggunaan acara sukan dan bukan sukan.

“Bagi menampung permintaan serta menepati keperluan penganjur konsert, beberapa inisiatif untuk menambah baik perkhidmatan sedia ada antaranya mempelbagaikan fungsi penggunaan Stadium Hoki Nasional.

“Sebelum ini Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hanya tertumpu bagi pertandingan dan latihan sukan hoki sahaja, namun kini merupakan salah satu venue yang boleh dipilih bagi penganjuran konsert,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam meningkatkan hasil negara melalui penganjuran lebih banyak konsert serta menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai fasiliti pelbagai guna bertaraf dunia.

Terdahulu, Hannah memaklumkan jumlah keseluruhan kutipan hasil sewaan venue di Kuala Lumpur Sports City (KLSC) sehingga Oktober 2024 sebanyak RM10.647 juta.

Kata beliau, hasil sewaan venue penganjuran acara sukan dan bukan sukan itu membabitkan Stadium Nasional Bukit Jalil, Axiata Arena dan Stadium Hoki Nasional.

“Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) merupakan agensi bertanggungjawab dalam pengurusan venue di KLSC diurus dan diselenggara supaya dapat dimanfaatkan secara optimum.

“Hasil sewaan venue direkodkan melibatkan 26 penganjuran acara sukan di KLSC, manakala bagi tempoh sama 54 penganjuran acara bukan sukan direkodkan melibatkan kutipan hasil sewaan venue RM8.5 juta,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, KBS telah mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan isu padang banjir dan isu rumput termasuk menukar kontarktor yang lebih baik dalam penyelenggaraan padang.

Ujar beliau, pada masa ini KBS sedang melihat kepada penggunaan rumput hibrid dan membina dua tapak semaian baharu bagi memastikan bekalan mencukupi.

Kata beliau, KBS juga telah memperkenalkan moratorium iaitu penonton dibenarkan berada dalam stadium untuk menonton konsert tidak melebihi 48 jam dan menggunakan konsep ‘lay and play’ bagi konsert yang menggunakan konsep pentas yang tidak boleh diubah.

“KBD juga telah memberi geran sebanyak RM500,000 kepada negeri-negeri yang mahu menerima bagi tujuan menukar rumput dan memperbaiki saliran.

“Bagaimanapun sehingga kini hanya Kelantan yang memulakan kerja selepas menerima geran tersebut, manakala negeri-negeri lain belum memulakan kerja-kerja menaik taraf rumput,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI