KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan sebanyak 208 jalan raya sedang dalam pembinaan ketika ini di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kesemua projek berkenaan membabitkan peruntukan RM22.4 bilion untuk tempoh lima tahun.
Beliau berkata, perlaksanaan projek berkenaan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan RMK sambungan di bawah pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Tambah beliau, sebanyak RM2.8 bilion pula diperuntukkan bagi penyelenggaran jalan, cerun pada tahun ini dan ia tidak termasuk nilai industri jalan raya di bawah pihak berkuasa lain.
“Projek yang aktif (sedang dalam pembinaan) ketika ini termasuk Sabah Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 2 yang mana kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM7.2 bilion untuk projek ini.
“Itu yang besar di Sarawak, sebab Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak hampir siap, cuma ada beberapa sektor iaitu kawasan ‘redline’ kita akan laksanakan pada tahun hadapan (2025),”katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Jalan Se-Malaysia Ke 12 (MRC 2024) dan Kongres Jalan Asia Pasifik, Persekutuan Jalan Sedunia Ke-5 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Bertemakan “Driving Innovation for Better Roads”, MRC 2024 menekankan kepentingan inovasi dalam mempertingkatkan kualiti, keselamatan dan kelestarian jalan raya di samping mengenal pasti kaedah mengurangkan kos dalam pembinaan infrastruktur jalan raya di Malaysia. – KOSMO! ONLINE