SUNGAI GOLOK, THAILAND – Seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan bersama lima individu yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand pada Jumaat lalu dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini untuk prosiding reman.
Tiga orang suspek lelaki dan tiga wanita itu menaiki trak polis sebelum meninggalkan pekarangan Balai Polis Sungai Golok untuk ke mahkamah berkenaan yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Sungai Golok.
Sementara itu, puluhan ahli keluarga dan rakan-rakan kepada kesemua suspek yang datang dari Malaysia dilihat turut hadir di balai polis itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kol Pol Jedsadavit Ingprapan berkata, keenam-enam suspek itu dihantar ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk mendapatkan perintah tahanan lanjut.
Menurutnya, kesemua suspek akan ditahan di mahkamah sehingga siasatan berhubung kes memiliki pil kuda dan memasuki Thailand tanpa dokumen sah selesai.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan bersama lima individu yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Golok, Thailand pada Jumaat lalu disahkan positif dadah.
Tiga lelaki dan tiga wanita termasuk penyanyi terbabit ditangkap polis Thailand kira-kira pukul 5 pagi dalam satu serbuan ketika mereka berehat di sebuah bilik hotel selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak bawah hotel tersebut.
Mereka masuk ke negara jiran itu untuk berhibur sempena cuti perayaan Deepavali.
Menurut sumber, dua lagi suspek yang sebelum itu berada di dalam bilik itu sempat meloloskan diri.
“Pemeriksaan di dalam bilik itu kemudian menjumpai sebanyak 6,000 biji pil kuda.
“Siasatan mendapati, salah seorang suspek wanita merupakan seorang penyanyi terkenal dari Kelantan,” katanya. – KOSMO! ONLINE