PETALING JAYA – Seekor beruang matahari kelihatan sedang menahan kesakitan sambil berguling di atas jalan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuantan.
Menerusi rakaman yang dikongsikan pengguna TikTok @wnurulhusna semalam, terdapat luka dan darah pada badan serta muka beruang terbabit seolah-olah baru terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Kelihatan juga beberapa serpihan kaca dan badan kenderaan bertaburan di atas laluan lebuh raya tersebut.
Beberapa kenderaan turut berhenti di bahu jalan sekitar 100 meter daripada lokasi beruang itu.
Bagaimanapun, tiada penerangan lanjut berhubung kejadian tersebut dikongsikan pengguna TikTok berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang bersedih melihat situasi beruang matahari itu dan tertanya sama ada haiwan tersebut berjaya diselamatkan atau sebaliknya.
“Macam mana keadaan sun bear (beruang matahari) ni? Ada sesiapa boleh update (kongsi perkembangan terkini) keadaannya?,” soal @MaaNiaShop.
“Perhilitan dah ambil ke? kesiannya, sakit betul sampai berguling-guling dia. Harap dia sempat dirawat dan diselamatkan,” kata Izz Wan.
“Kesiannya, terbayang kalau diri ini kena langgar tergolek macam itu,” luah @AcuChetah.
Sehingga kini, hantaran pengguna itu meraih hampir 1 juta tontonan dan 57,100 tanda suka. – KOSMO! ONLINE
@wnurulhusna🐻