WASHINGTON – Tinjauan pendapat mutakhir menjelang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) esok menunjukkan calon Parti Republikan, Donald Trump dan seterunya daripada Parti Demokrat, Kamala Harris terikat dari segi sokongan.
Akhbar New York Post melaporkan, Trump berjaya menghapuskan perbezaan empat mata yang diterimanya awal Oktober lalu.
Kaji selidik oleh Leger dan New York Post itu menunjukkan Trump, 78 dan Harris, 60, masing-masing menerima sokongan 49 peratus pengundi.
Pada 1 Oktober lalu, Harris mendahului tinjauan pendapat dengan memperoleh sokongan 51 peratus berbanding 47 peratus memilih Trump.
Trump turut mendahului Harris dengan lima mata sokongan melibatkan pengundi lelaki, manakala Harris mempunyai kelebihan tujuh mata dalam kalangan pengundi wanita.
Responden bagaimanapun buntu tentang calon mana yang paling cenderung meningkatkan kualiti hidup rakyat Amerika, dengan kedua-dua Trump dan Harris mendapat 44 peratus undian.
Apabila diminta memberi alasan mengapa mereka menyokong Trump, 58 peratus pengundi Republikan berkata, mereka memilihnya kerana kehidupan rakyat lebih baik ketika negara di bawah pentadbiran beliau.
Tinjauan pendapat itu melibatkan 1,044 rakyat AS dan dilakukan secara online dari 31 Oktober hingga 3 November (semalam). – AGENSI